18 Jun 2014

ISU KINRARA DAMANSARA EXPRESSWAY (KIDEX) LAGI ?


KIDEX: Antara tuntutan pembangunan dan aspirasi rakyat

Oleh: SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN

Sebagai aktivis muda yang dikelilingi dengan persekitaran politik yang sihat, saya mengikuti perkembangan terkini negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor dan Pulau Pinang, terutamanya isu yang seakan-akan menyaksikan pertembungan di antara tuntutan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dengan kehendak dan aspirasi masyarakat setempat.

Contoh isu di Selangor adalah bantahan di kalangan penduduk Petaling Jaya terhadap projek Kinrara-Damansara Expressway (KIDEX) yang telah menjadi polemik sejak hampir dua bulan yang lalu.

Antara ciri-ciri utama KIDEX:

- Kos pembinaan dianggarkan bernilai RM2.42 billion, akan dibiayai oleh pelabur swasta manakala Kerajaan Persekutuan akan membiayai kos pengambilalihan harta tanah

- Perjanjian konsesi ditandatangani pada 15 November 2013 di antara:
* Kerajaan Persekutuan menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), badan berkanun di bawah Kementerian Kerja Raya yang
bertanggungjawab mengawalselia pembangunan dan pengurusan lebuhraya di Malaysia; dan

* Kidex Sdn Bhd (ahli kumpulan Zabima Engineering & Construction Sdn Bhd dan Emrail Sdn Bhd yang mana Datuk Hafarizam Harun,
penasihat undang-undang UMNO dan Toh Puan Nik Sazlina Mohd Zain, isteri Tun Zaki Azmi, bekas Ketua Hakim Negara merupakan ahli lembaga pengarah), syarikat konsesi yang dianugerahkan kontrak membina dan mengendali lebuhraya tersebut.

- Proses pembinaan dijangka bermula seawal tahun 2015, mengambil masa 3 tahun untuk siap iaitu menjelang 2018

- Tempoh konsesi selama 48 tahun

- Lebuhraya sepanjang 14.9 km, mempunyai dua lorong dua hala beserta 3 meter bahu jalan, menghubungkan utara-selatan Lembah Kelang iaitu Damansara-NKVE Interchange, sebahagian daripada New Klang Valley Expressway (NKVE) di utara ke Bandar Kinrara di selatan yang bersambung dengan Lebuhraya Bukit Jalil melalui Bandar Utama, Kayu Ara, Damansara Kim, Petaling Jaya

- Bypass kepada Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)

- Sistem tol terbuka dengan 2 tol plaza “ramp” sedia ada di Damansara-NKVE (PLUS) serta 2 tol plaza utama di Jalan Harapan Seksyen 19 Petaling Jaya dan Taman Medan Baru/Taman Dato’ Harun

- Terdapat 7 “interchange” atau persimpangan iaitu Damansara-NKVE, Bandar Utama, Damansara-SPRINT, Lebuhraya Persekutuan 2, Taman Dato’ Harun-NPE, Kinrara-KESAS dan Kinrara-Lebuhraya Bukit Jalil

- Disebut-sebut sebagai “living skyway” yang pertama di dunia, teknologi hortikultural terkini digunapakai untuk membina lebuhraya lengkap dengan taman vertikal

- Bakal dikenali juga sebagai KIDEX Skyway kerana karakteristik “super elevated” atau struktur bertingkat lebuhraya ini – 40% dengan ketinggian 24 meter, 40% dengan ketinggian 16 meter dan 20% dengan ketinggian 8 meter atas tanah

- 90% daripada kepanjangan keseluruhan akan dibina di atas rizab jalan atau merentasi jalan atau lebuhraya sedia ada seperti Lebuhraya SPRINT, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), New Pantai Expressway (NPE), Shah Alam Expressway (KESAS), Jalan Puchong dan Jalan Semangat

- Melibatkan kawasan di bawah bidang kuasa:
* Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) iaitu Petaling Jaya Selatan, NPE, Seksyen 52, Seksyen 14, Seksyen 13, Seksyen 19, Seksyen 17, Lebuhraya SPRINT dan Bandar Utama (hampir 90%)

* Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) iaitu Puchong dan Kinrara (selebihnya)

- Pada 18 Julai 2013, Kerajaan Negeri Selangor telah menerbitkan satu warta bawah Seksyen 4 Akta Pengambilalihan Tanah yang membekukan transaksi melibatkan 3,784 lot tanah meskipun pemaju menegaskan hanya 380 lot yang akan diambilalih

Bagi penyokong projek tersebut, antara justifikasi mengapa KIDEX wajar diterima dan dipertahankan adalah seperti berikut:

- Jangkaan keupayaannya menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Lembah Kelang terutama pada waktu puncak khususnya mengurangkan volum lalu lintas dua hala di antara Puchong dan Petaling Jaya sebanyak 50% serta daripada kawasan sekitar Taman Tun Dr Ismail, NKVE dan Bandar Utama ke Petaling Jaya sebanyak 30%

- Mengurangkan masa perjalanan di antara kawasan sekitar Damansara dan Kinrara sehingga 25%

- Pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pembangunan bagi seluruh Selangor khususnya “spillover effects” atau kesan limpahan kepada kawasan yang direntasi KIDEX

Di kalangan mereka yang menentang pula terutama penduduk di Petaling Jaya, berikut merupakan antara hujah kenapa projek KIDEX harus dibantah dan ditolak mentah-mentah:

- Bakal menjadi jalan termahal di Malaysia dengan kos per kilometer dianggarkan pada RM161 juta, jauh melebihi kos per kilometer bagi Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) yang dilaporkan berlegar di sekitar RM95 juta. Ini sudah tentu akan diterjemahkan kepada “super elevated toll tariffs” atau kadar tol sangat tinggi yang akan membebankan rakyat selama tempoh konsesi

- Konsesi KIDEX akan berkuatkuasa selama 48 tahun, satu tempoh yang sangat lama berbanding 20 hingga 30 tahun sahaja bagi kontrak konsesi lain sebelum ini

- Ketidakpastian mengenai kadar pengenalan, kekerapan dan formula semakan tol (berdasarkan unjuran volum lalu lintas) kerana dikatakan belum ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan sedangkan semua perincian ini adalah satu kemestian sebelum perjanjian konsesi 48 tahun tersebut ditandatangani manakala institusi kewangan memerlukannya untuk mengunjurkan pulangan atas pelaburan bagi Kidex Sdn Bhd sebelum permohonan pinjaman boleh diluluskan

- Konsesi ini bukan sahaja sangat lumayan dari segi nilai projek untuk tempoh yang sangat lama malah dianugerahkan kepada syarikat kroni tanpa melalui proses tender terbuka

- Banyak kawasan kediaman, komersil malah industri berkepadatan tinggi akan terjejas termasuk Tropicana Mall, SS2 Mall, lampu isyarat sekitar Rothman, Seksyen 14 Petaling Jaya, Amcorp Mall, Hilton Petaling Jaya, Hospital Mata Tun Hussein Onn, bulatan Jalan Templer, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru dan Bandar Kinrara

- Kegagalan Kidex Sdn Bhd atau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyokong hujah tentang manfaat projek KIDEX dengan fakta atau statistik yang meyakinkan dan boleh diterima akal terutama untuk mengatasi kesesakan lalu lintas dan mengurangkan masa perjalanan antara bandar dalam negeri Selangor – menurut hasil kajian awal Traffic Impact Assessment (TIA) yang dijalankan pemaju sendiri, kesesakan lalu lintas bagi 43 jalan di Petaling Jaya dijangka hanya boleh dikurangkan sebanyak 5.84% seusai pembinaan pada 2018 dan 3.05% pada 2028, 10 selepas KIDEX selesai dibina, jauh berbeza dengan pengurangan kesesakan lalu lintas sebanyak 20%-35% seperti yang diwar-warkan pemaju

- Risiko susut nilai harta tanah akibat jarak terlalu dekat dengan lebuhraya

- Risiko peningkatan pencemaran bunyi dan alam sekitar di kawasan kediaman terutama di Petaling Jaya

- Risiko ke atas keselamatan murid sekolah

Walaupun KIDEX membabitkan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu MBPJ dan MPSJ, setakat ini tentangan paling hebat datang daripada mereka yang mungkin terjejas dan berada di bawah bidang kuasa MBPJ dengan alasan manfaat dan faedah KIDEX dijangka terlalu marginal berbanding pelbagai kos dan kesan buruk sebagaimana yang dihuraikan di atas. Sebagai pihak “watchdog” atau pemerhati yang bebas dan berkecuali, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dan ditekankan dalam kontroversi yang menyelubungi projek KIDEX.

Pertama, perlu ditegaskan bahawa bahawa KIDEX dan tiga hingga empat lagi lebuhraya bertol baharu yang dicadangkan termasuk Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR) merupakan projek Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri sebenarnya terikat dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bidang kuasa dan prerogatif bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sama ada dalam senarai persekutuan, senarai negeri atau senarai bersama.

Jika diteliti jadual tersebut, jelas bahawa perhubungan dan pengangkutan serta kerja raya dan pembekalan utiliti terkandung dalam senarai persekutuan meskipun sebarang perkara berkaitan tanah di bawah senarai negeri manakala perancangan bandar dan kampung pula di bawah senarai bersama.

Capaian dan skop bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sebenarnya sangat meluas dan hampir mutlak terutama sekiranya ia melibatkan infrastruktur dan kemudahan awam serta pembangunan secara umum di mana Kerajaan Negeri hanya mempunyai peranan memberi nasihat.

Bagi tujuan pembinaan infrastruktur awam sebagai contoh, Kerajaan Negeri tidak boleh menolak permohonan daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengambilalih tanah. Malah, menurut Kanun Tanah Negara, pengambilan tanah demi kepentingan awam dibenarkan dan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri hanya dibenarkan dengan alasan yang sangat munasabah, mempertikai kuantum pampasan yang akan diterima oleh mereka yang terjejas akibat pengambilahan tanah tersebut atau mencadangkan jajaran alternatif menurut Akta Pengambilalihan Tanah walaupun hal-ehwal tanah terkandung dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Kedua, KIDEX masih dalam peringkat cadangan dan/atau di peringkat awal dalam proses memenuhi pelbagai syarat dan terma untuk mendapat kelulusan memulakan projek. Justeru terlalu awal untuk Kerajaan Negeri mengambil sebarang tindakan membantah atau susulan lain sebelum keseluruhan projek ini diperhalusi secara teliti dan holistik.

Ketiga, Kerajaan Negeri Selangor sehingga kini dilihat sentiasa menyokong dan sedaya upaya cuba melaksanakan tawaran yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Rakyat di peringkat pusat bagi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) meskipun di peringkat negeri, Pakatan Rakyat tidak membuat komitmen yang sama.

Sebagai contoh, kesungguhan dan keikhlasan Kerajaan Negeri Selangor menjunjung komitmen menurunkan kadar tol secara berperingkat ke arah memansuhkan langsung tol akhirnya demi kesejahteraan rakyat sebagaimana yang terkandung dalam manifesto Pakatan Rakyat di peringkat pusat terbukti apabila menggunapakai “kelebihannya” sebagai pemegang saham dalam tiga syarikat konsesi lebuhraya di Selangor iaitu 30% dalam Lebuhraya KESAS melalui PKNS serta 20% dalam Lebuhraya SPRINT dan LDP melalui Kumpulan Perangsang Berhad untuk menghalang kenaikan tarif tol yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi 15 lebuhraya menjelang 1 Januari 2014.

Namun, tanpa Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Pakatan Rakyat, banyak tawaran dalam Manifesto Pakatan Rakyat di peringkat pusat tidak dapat dilaksanakan, termasuklah penghapusan tol. Kerajaan Persekutuan yang sekarang ditadbir oleh Barisan Nasional sepatutnya menunjukkan “political will” untuk menghapuskan tol kerana ia mempunyai kuasa mutlak menetapkan syarat dan terma dalam sebarang perjanjian konsesi.

Kuasa spesifik Kerajaan Negeri untuk menghalang penganugerahan konsesi lumayan kepada golongan elit, kroni dan kelas “rentier” amat terbatas terutama bagi hal-ehwal di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Penubuhan Majlis Pengangkutan Awam Selangor (MPAS) juga membuktikan kewibawaan Kerajaan Negeri dalam usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam demi memelihara alam sekitar dan mengurangkan jejak karbon.

Keempat, walaupun Kerajaan Negeri Selangor secara dasar bersetuju dengan cadangan pembinaan KIDEX sejak Februari 2012 lagi bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Lembah Klang, ini sama sekali tidak bermakna Lebuhraya KIDEX sudah pasti akan diteruskan tanpa memenuhi kesemua syarat dan terma duluan yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seperti:

- Dua syarat dalam perjanjian konsesi yang mesti dipenuhi oleh Kidex Sdn Bhd menjelang 15 November 2014 yakni dalam tempoh setahun selepas perjanjian ditandatangani:
* Mendapat pembiayaan bagi pembinaan
* Menjalankan Public Opinion Survey atau Kajiselidik Pandangan Awam dan membentangkan hasil kajiselidik

- Sesi dialog dan pendengaran awam untuk memberi peluang kepada pihak terlibat terutama LLM dan Kidex Sdn Bhd membentangkan segala perincian mengenai projek termasuk kos, jangkaan manfaat, risiko dan impak negatif serta menerima pandangan sama ada bantahan atau cadangan penambahbaikan daripada masyarakat setempat

- Keselarian dengan semua rancangan pemajuan berkenaan seperti Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) mengikut peruntukan di bawah Seksyen 16, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)

- Kepentingan dan hak rakyat sebagai pembayar cukai, pengguna lebuhraya dan penduduk setempat diberi keutamaan

Di bawah Seksyen 18 Akta 172 mengenai penggunaan tanah dan bangunan, mana-mana tanah atau bangunan tidak boleh digunakan atau dibenarkan untuk digunakan sekiranya projek tersebut tidak konsisten dengan sebarang rancangan pemajuan. Rancangan pemajuan adalah pelan tindakan bagi mana-mana PBT.

Hakikatnya, KIDEX sememangnya tidak diperuntukkan dalam mana-mana rancangan pemajuan bagi Petaling Jaya seperti RTPJ1, RTPJ2 dan RKK13 walaupun Kerajaan Negeri bercadang mejadikan projek ini sebahagian daripada Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035.

Maka, tidaklah menghairankan apabila permohonan memulakan projek KIDEX sudah tiga kali ditolak oleh MBPJ atas alasan gagal menyediakan perincian atau dokumen yang diperlukan seperti Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar, Laporan Penilaian Kesan Sosial dan Laporan Penilaian Kesan Lalu Lintas. Sekiranya projek KIDEX hendak diteruskan, maka kesemua RT dan RKK ini perlu dipinda untuk memasukkan KIDEX.

Proses dan prosedur pindaan ini sebenarnya sangat rumit dengan syarat yang ketat seperti kajian penilaian impak alam sekitar, sosial dan lalu lintas terkini yang perlu dibentangkan kepada umum meskipun ada kemungkinan ianya tidak dipatuhi.

Kaji selidik Pandangan Awam telah dijalankan oleh Kidex Sdn Bhd dan dapatan awalnya menunjukkan 85% daripada 1,700 responden di tiga zon terbabit iaitu Damansara, Petaling Jaya dan Kinrara menerima projek KIDEX. Walau bagaimanapun, kaji selidik ini dan hasilnya dikhuatiri memihak atau berat sebelah kerana tidak dijalankan oleh pihak ketiga yang bebas, berkecuali tanpa kepentingan.

Mungkin ada kebijaksanaan sekiranya Kerajaan Negeri Selangor mengambil keputusan menunda pemberian kelulusan kepada semua permohonan pembangunan dan penggunaan tanah malah mencari helah melambatkan bermulanya proses membina lebuhraya KIDEX memandangkan ketiadaan ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti di pihak Kerajaan Persekutuan dan pemaju mengenai projek KIDEX dan sehingga ia mematuhi kesemua syarat dan terma yang ditetapkan.

Namun, seakan ada unsur ketidakadilan dan serangan bersifat peribadi ke atas pemimpin eksekutif negeri khususnya Dato’ Menteri Besar Selangor dalam gesaan segelintir pemimpin Pakatan Rakyat (PR) di Selangor baru-baru ini supaya pimpinan Pakatan Rakyat di peringkat pusat segera menyatakan pendirian terhadap cadangan membina lebuhraya bertol di Selangor.

Seandainya pemimpin-pemimpin berkenaan benar-benar ikhlas demi imej dan reputasi PR, mengapa tidak dipertikaikan juga cadangan projek infrastruktur mega bertol bernilai keseluruhan RM6.3 billion membina tiga lebuhraya dan satu terowong bawah laut di Pulau Pinang?

Bukankah projek mega ini juga telah menerima protes awam dengan hujah tentangan yang hampir sama dengan apa yang diterima oleh projek KIDEX? Apatah lagi dengan kewujudan sedia ada Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sudah pun dibuka untuk kegunaan awam. Berikut merupakan perincian projek-projek mega yang menerima protes awam di Pulau Pinang:

- Lebuhraya pintas sepanjang 12 km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, dijangka siap menjelang 2018
- Lebuhraya pintas sepanjang 4.6 km menghubungkan Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, dijangka siap menjelang 2019
- Lebuhraya pintas sepanjang 4.2 km menghubungkan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Gurney Drive, dijangka siap menjelang 2022
- Terowong bawah laut sepanjang 7.2 km menghubungkan Gurney Drive, Georgetown ke Bagan Ajam, Seberang Perai Utara, dijangka siap menjelang 2025

Lebih parah lagi, projek yang dianugerahkan kepada kontraktor utama, Construction Zenith BUCG Sdn Bhd dengan Zenith Construction Sdn Bhd dan China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC) sebagai pemegang saham terbesar secara usahasama sebanyak 70%, Beijing Urban Construction Group (BUCG) sebanyak 10%, Sri Tinggi Sdn Bhd sebanyak 10% dan Juteras Sdn Bhd sebanyak 10% merupakan projek Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan bukan projek Kerajaan Persekutuan.

Sebagai bayaran atau pulangan timbal balas, kerajaan negeri akan menganugerahkan pemaju projek 110 ekar tanah negeri untuk pembangunan dan kontrak konsesi selama 30 tahun.

Demi mempertahankan projek mega penuh kontroversi ini, Ketua Menteri Pulau Pinang sanggup menjadikan PRU13 sebagai medan bagi rakyat membuat referendum ke atas projek terowong bawah tanah ini yang sebenarnya bukanlah cadangan baharu kerana idea sedemikian telah ditimbulkan dalam tahun 1980an sebelum Jambatan Pertama dibina.

Sungguhpun terowong bawah laut ini, yang pertama di Malaysia dan yang kedua di Asia Tenggara pasti akan meningkatkan “connectivity”, ia juga akan mengakibatkan kebanjiran trafik ke pulau – isu utama dalam dasar pengangkutan negeri yang sepatutnya dicari jalan penyelesaian jangka panjang yang tuntas selari dengan pertumbuhan populasi.

Saya berpandangan solusi jangka panjang kepada masalah lalu lintas di Pulau Pinang bukanlah dengan membina lebih banyak jalan atau lebuhraya yang sudah tentu akan menggalakkan penggunaan kereta persendirian tetapi dengan menyediakan satu sistem transit awam seperti monorel atau tram – mana-mana yang dikenalpasti lebih murah, lebih pantas proses pembinaannya dan lebih cekap – di samping boleh meningkatkan daya tarikan Pulau Mutiara sebagai destinasi pelancongan.

* Shazni Munir ialah mantan aktivis Mahasiswa Koordinator Gabungan Tanah Rakyat (TANAH

http://bm.selangorku.com/52806/kidex-antara-tuntutan-pembangunan-dan-aspirasi-rakyat/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan