2 Mei 2014

BATANG SADONG - KONSPIRASI JATUHKAN AZMIN ATAU BENAR IA PENIPUAN ?


Memang sukar untuk mempercayai tuduhan ke atas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang terus menerus diasak kononnya menipu kertas undi di beberapa cabang ketika proses pengundian dilakukan.
Sama ada betul atau tidak dakwaan tersebut, hanya Azmin yang boleh jawab. Andaian yang timbul betulkah Azmin yang menipu atau semuanya adalah konspirasi pihak tertentu untuk menjatuhkan Ahli Parlimen Gombak itu agar hilang kelayakan bertanding?
"Kalau saya tak jumpa sendiri beberapa kotak kertas undi yang memangkah Azmin, saya tidak akan pandai untuk mengadakan cerita.
"Itupun kami serbu setelah mendapat maklumat daripada beberapa sumber dan hasil serbuan di bilik sebuah hotel di Batang Sadong, Sarawak, kami jumpa kotak-kotak kertas undi yang disorok di bawah katil," kata wakil calon, Zakaria Rahim ketika dihubungi petang tadi.
Jelas Zakaria, penipuan kertas undi yang ditemui tidak pernah berlaku dalam pemilihan PKR dan ini adalah kali pertama didedahkan.
"Itu semua adalah bahan bukti yang disiasat oleh Jawankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk tindakan selanjutnya.
"Selain itu, ketika proses pengiraan undi di dalam tiga bilik hotel bajet di Batang Sadong, pintu lambat dibuka oleh pengawas pemilihan dan pada masa sama lampu padam ketika proses kiraan undi.
"Semua kejadian ini menimbulkan pelbagai kemusykilan dan perkara ini disaksikan oleh ramai ahli," katanya.
Ekoran kejadian dan laporan yang diserahkan, JPP PKR menggunakan kuasa mereka dengan menggantung cabang Batang Sadong, Sarawak selepas mendapati sah penipuan berlaku semasa proses pengundian minggu lalu.
Malah Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul turut mengambil tindakan tegas dengan mengesyorkan jawatankuasa disiplin parti memecat pimpinan yang memenangi pemilihan cabang itu, termasuk ketuanya yang menang tanpa bertanding.
Tambah Zakaria, apa yang dilakukannya bukan untuk menjatuhkan sesiapa, sebaliknya harus menjadi pengajaran kepada semua pihak yang terlibat agar perkara seumpama itu tidak berlaku pada pengundian di cabang lain.
"Azmin berhak membuat penafian dan mengatakan penemuan saya itu adalah konspirasi untuk menjatuhkannya tetapi apa yang menjadi persoalan, kenapa kertas undi siap dipangkah ada di bawah katil? Siapa punya kerja?" katanya. - MalaysiaGazette


Read more: http://malaysiagazette.com/nasional/tipu-atau-konspirasi-jatuhkan-azmin#ixzz30YLMQVYs
Follow us: @MalaysiaGazette on Twitter | MalaysiaGazette on Facebook

Tiada ulasan:

Catat Ulasan