16 Jun 2014

AZMIN GAGAL PERTAHAN KEPENTINGAN PKNS DALAM PJ SENTRAL ?

SURAT  TERBUKA MEMINTA PENJELASAN AZMIN ALI KERANA GAGAL MEMPERTAHANKAN KEPENTINGAN ANAK SELANGOR

Beberapa hari lepas saya telah mendapat dokumen dipercayai milik PKNS yang mempunyai maklumat berkenaan projek usahasama PKNS Holding iaitu PJ Sentral Development Sdn Bhd.

Dokumen tersebut juga menunjukkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sedang menjalankan penyiasatan dalaman terhadap anak syarikatnya PKNS Holdings Sdn Bhd terutamanya dalam transaksi yang berkaitan projek PJ Sentral Development (PJ Sentral).


Jabatan Audit Dalaman PKNS digambarkan sedang menjalankan siasatan secara terperinci termasuk mendapatkan maklumat dan dokumen daripada ahli-ahli lembaga pengarah PKNS Holdings yang mewakili PKNS dalam PJ Sentral iaitu YB Mohamed Azmin Ali dan Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Projek PJ Sentral melibatkan pembangunan komersil di kawasan seluas  9,854 ekar yang menempatkan Ibu Pejabat PKNS. Pada 6 September 2007, PKNS menjual  8.05 ekar kepada Bisraya Pembinaan Sdn Bhd dan dana itu digunakan bagi membiayai pembangunan Ibu Pejabat PKNS yang baharu di kawasan tanah berbaki itu.


Anak syarikat PKNS iaitu PKNS Holdings (PHSB) telah menjalinkan kerjasama dengan Nusa Gapurna dan membentuk sebuah syarikat untuk membangunkan PJ Sentral dengan pegangan saham 30-70.

Menerusi syarikat kerjasama itu, PHSB telah diwakili oleh YB Mohamed Azmin Ali dan Datin Paduka Norazlina Zakaria yang masing-masing merupakan Ahli Lembaga Pengarah sejak dari tahun 2011 dan 2012.

Pada Februari 2013, Nusa Gapurna telah mengadakan perjanjian dengan MRCB untuk menjual 70% pegangan saham dalam PJ Sentral kepada MRCB melalui reverse takeover proposal.

Dokumen yang diperolehi menggambarkan kegagalan wakil PKNS dalam PJ Sentral untuk mempertahankan kepentingan PKNS.

Dalam dokumen tersebut juga menunjukkan YB Azmin Ali gagal hadir siasatan audit malah tercatat rentetan tarikh – tarikh yang dimana siasatan audit gagal menemui YB Azmin Ali seolah dia lari dan cuba mengelak proses siasatan.


Dari dokumen ini muncul persoalan

         i.            Kenapa dia lari dan mengelak lebih dari dua bulan untuk menghadiri sesi penyiasatan audit ? apa yang hendak disurukkan ?

       ii.            Adakah dia lemah atau sengaja dalam gagal mempertahankan kepentingan PKNS dalam projek PJ Sentral ? maaf jika dikatakan jika tidak dijelaskan maka mungkin akan wujud persepsi bahawa mungkin wujud juga imbuhan untuk berpura lemah.

      iii.            Adakah kegagalan ini penyebab penamatan beliau sebagai ahli lembaga pengarah ?

Kegagalan ini mempertahankan kepentingan PKNS dalam projek bernilai billion ringgit ini merupakan satu kerugian kepada semua warga Selangor secara keseluruhanya. Saya selaku anak Selangor dan juga anggota PKR menuntut jawapan dari YB Azmin Ali dan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim juga harus tampil memberikan penjelasan mengenai perkara ini dan Kerajaan negeri harus menerangkan apa tindakan lanjut untuk mempertahankan atau mendapatkan semula hak warga Selangor yang hilang.

Dalam kesempatan ini juga ingin memohon penjelasan YB Azmin Ali mengenai berapa ramai kakitangan yang beliau bawa masuk dalam PKNS untuk dibayar gaji oleh PKNS selepas lantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah sehingga tidak disambung kontrak ?

Akhirnya besarlah harapan saya agar surat saya ini jangan disalah ertikan malah seharusnya dijadikan peluang dan ruang harus digunakan bagi menjelaskan kepada rakyat. Saya percaya dan yakin sama ada YB Azmin Ali mahupun YAB Tan Sri Khalid selaku Menteri Besar sendiri tentu mementingkan integriti dan keterbukaan maklumat.

Sekian dan terima kasih.




Khairul Anuar Al Megat
No. anggota PKR B 030003354
Cabang Hulu Selangor

Tiada ulasan:

Catat Komen